Feb 02, 2025 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Penang FC saingan Separuh Akhir kedua saingan MFL Challenge Cup 2024/25 pada jam 9 malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Malam penentuan pasukan yang akan layak ke Perlawanan Akhir MFL Challenge Cup 2024/25. Selangor FC memiliki kelebihan satu jaringan gol, menjadikan agregat 1-0 daripada perlawanan Separuh Akhir pertama di Pulau Pinang tempoh hari.
Ini merupakan pertemuan ke-131 di antara #SFCPEN. Gergasi Merah telah memenangi 78 perlawanan dan 21 seri. Selain itu, 274 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini.
Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, mahu pasukan dapatkan keputusan yang terbaik untuk para penyokong.
“Ini merupakan perlawanan ketiga pasukan menentang Penang FC, bagi saya mereka merupakan sebuah pasukan yang cukup bagus, kelebihan yang dimiliki mereka mampu berikan ancaman kepada skuad Merah Kuning serta mereka juga bermain dengan ‘organised’ dalam setiap pergerakan. Walau bagaimanapun, kita hanya perlu fokus kepada corak permainan yang akan dimainkan, selain membuat beberapa pertukaran termasuk beraksi dengan penuh agresif terutama sekali di bahagian serangan. Misi pada malam ini jelas untuk dapatkan keputusan yang terbaik sekaligus berikan kegembiraan kepada para penyokong,” Jelas Kinoshi.
Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh telah melepasi bulan kedua pemulihan selepas mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL). Manakala, Yohandry Orozco sudah pun jalani aktiviti bersama rakan sepasukan yang lain selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring. Selain itu, pemain-pemain Gergasi Merah yang lain bersedia untuk diturunkan pada malam ini.
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan agar Gergasi Merah dapat beraksi dengan cemerlang sekaligus dapat keputusan terbaik untuk perlawanan malam ini.
Demi Kebanggaan!